Islamic Musical

Tuesday, 22 December 2015

Langkah



Diam membisu seribu bahasa
Kaki mula membuka langkah
Memerhati setiap perilaku dan watak manusia
Seperti tidak mahu berhenti
Laju sahaja kaki membawa langkah
Ke sana ke mari tanpa hala tuju
Kadangkala pelik menerjah di fikiran
Bagaimana hidup tanpa bertuhankan Allah dengan sebenarnya?
Kita kata Allah itu Tuhan kita,
Tetapi sebenarnya kita bertuhankan selainNya.
Bertuhankan duit, bertuhankan suami, bertuhankan kerjaya..
Betapa besarnya pengkhianatan yang telah dilakukan kepada Allah

Langkah kaki semakin laju
Kemudian terhenti tersentak seketika
Terpampang jelas di layar mata
Kemalangan jalanraya yang mengorbankan nyawa sekeluarga
Darah mengalir tak henti-henti
Tangisan di sana sini
Ramai yang mengerumuni tempat kejadian itu
Hati bertanya sayu
Kematian yang bagaimanakah yang aku tempuhi nanti?
Adakah pengakhiran hidupku nanti,
Aku kembali kepada Allah bersama hati yang selamat ataupun tidak?
Lesu sahaja airmata mengalir di pipi
Sedih akan nasib diri bimbang tak selamat
Kemudian airmata semakin laju menuruni pipi
Mengenang akan banyaknya dosa yang dilakukan
Mazmumah masih berleluasa beraja di hati
Sedang diri masih mengikut segala telunjuknya

Laju langkah membawa jasad pergi dari tempat kejadian
Membawa diri dan hati ke tepi laut
Airmata yang tadinya tak segan silu mengalir kini kering sendiri
Tenang sedikit melihat laut yang terbentang luas
Terasa kerdil dan hinanya diri
Bila mengenangkan Kasih Sayang Allah yang tidak bertepi
Tidak pernah pun Allah itu meminta bayaran atas segala nikmatnya
Tapi bila berhadapan dengan Ujian,
Gagal untuk menempuhnya..

Hati kecil menangis lagi
Bersama tekad dan harapan
Akanku berusaha membaiki diri dan membuat perubahan
Tidak akan ku kalah lagi dengan nafsuku
Agar aku tidak menjadi si hamba yang tak sedar diri

Hati kecil berbisik lagi
Memberi kekuatan dan keyakinan
Bahawa Allah takkan membiarkan diri ini
Moga janganlah selepas ini aku bertuhankan selain Allah.
Hingga satu masa aku berjaya menjadi hamba yang sebenar-benar Hamba.

No comments:

Post a Comment